Wednesday, May 23, 2012

Hormati Diri Anda

Penghormatan terhadap diri ialah menerima hakikat untuk meletakkan diri berjaya dalam kehidupan dunia dan tanggungjawab sebagai insan untuk menuju kebahagiaan akhirat.


Rasa hormat seseorang terhadap diri anda adalah bermula daripada diri anda sendiri. Setiap tindakan yang akan anda buat mestilah dibuat demi kepentingan diri anda. Jika anda mengutamakan diri anda dalam pemberian hak bermakna anda tidak mementingkan diri anda sendiri sebenarnya. Bezakan dua ayat ini, membuat untuk kepentingan diri atau berbuat kerana mementingkan diri. Mungkin berpendapat ini bertentangan daripada kata-kata yang lazim didengar, jangan mementingkan diri sendiri. Ayat ini perlu dilihat dalam dua dimensi yang berbeda. Oleh itu anda perlu mengutamakan orang lain untuk memastikan kepentingan diri anda tidak terjejas. Adalah tidak wajar untuk anda menyuruh orang lain menghormati anda sedangkan anda sendiri tidak memberikan penghormatan terhadap anda yang sewajarnya.

Setiap tindakan pasti ada tindakbalasnya. Untuk memastikan orang lain hormat kepada anda, hormatilah orang lain mengikut cara yang anda juga mahu orang lain menghormati anda. Jika anda sering berkasar terhadap orang lain, tidak hairanlah nanti orang lain akan berkasar kepada anda.

Apa jua amalan perlu bermula daripada diri anda sendiri. Tanpa mengira umur, sama ada rakan sebaya, lebih tua atau muda. Lihatlah keluarga, sahabat, jiran tetangga, masyarakat yang berada di sekeliling anda dengan rasa penuh kasih sayang. Gunakan bahasa yang lembut apabila berbicara, amalkan cara hidup yang harmoni bagi pembentukan diri anda yang dihormati.

Anda tidak akan rugi satu sen pun hanya kerana apabila anda menghormati orang lain. Bukan bereti anda lemah atau mengalah atas sikap itu. Berikan penghormatan sepatutnya kepada ibu bapa, saudara-mara, rakan taulan, pemimpin masyarakat tanpa mengira fahaman politik, guru, ketua, orang tua ataupun kanak-kanak.

Hulurkan khidmat bakti anda dengan ikhlas apabila tenaga atau bantuan anda diperlukan oleh orang lain. Libatkan diri dalam aktiviti gotong-royong yang diadakan oleh masyarakat setempat anda, seperti kempen kebersihan, kenduri-kendara, kematian dan sebagainya. Tingkatkan rekod penglibatan anda dalam apa jua aktiviti ini dengan hati yang luhur dan ikhlas.

Penglibatan diri dalam aktiviti sebegini akan mewujudkan suasana masyarakat yang bersatu. Malah tidak menjadi sukar untuk anda apabila berhasrat mengadakan aktiviti amal. Akan ramai yang sanggup dan turut serta menolong menjayakan aktiviti yang anda anjurkan. Tolong-menolonglah dalam melakukan kerja-kerja kebaikan. Berikan pertolongan dengan hati yang ikhlas. Keikhlasan akan hadir setelah diri anda dipupuk melalui aktiviti yang dijalankan berulang-ulangkali.

No comments: